Pahang Kini

 
 

 
 
 
 
Anda Berada Di Laman: Berita Dewan-Dewan Dewan Muslimat Laksana Kerja Berfokus Tentukan Kejayaan- Tuan Ibrahim
 
 

Laksana Kerja Berfokus Tentukan Kejayaan- Tuan Ibrahim

E-mail Cetak PDF

IMG_1964

TEMERLOH:  Muktamar Dewan Muslimat PAS Negeri Pahang  kali Ke 22 yang diadakan di Darul Amin Sungai Gau, baru sahaja bermula dengan perasmian dilakukan  Naib Presiden PAS yang juga Pesuruhjaya PAS Pahang, Dato’ Tuan Ibrahim Tuan Man yang menekankan perlunya jentera PAS melaksanakan kerja berfokus bagi mencapai kejayaan.

Muktamar yang dihadiri 14 perwakilan kawasan seluruh negeri Pahang  dimulakan dengan nyanyian lagu tema PAS  yang kemudian disusuli dengan bacaan ayat suci Al Quran oleh Siti Hajar  Zamhariri.

IMG_1961

Ketua Dewan Muslimat PAS negeri Pahang Ustazah Salamiah Mohd Noor  dalam ucapannya mahukan muslimat di semua peringkat berperanan memperkukuhkan perjuangan membangunkan  Islam  di negara ini sebagaimana yang ditetapkan parti mencapai matlama yang dihasratkan.

“Kejayaan amat bergantung kepada komitmen setiap ahli bagi  menjayakan matlamat yang ditetapkan oleh  jamaah kita. Sebab itu kita nak semua ahli muslimat bekerja keras. Dewan Muslimat PAS negeri tidak akan kuat jika Dewan Muslimat PAS Kawasan lemah, sebab itu setiap dari kita kena kerja kuat disemua peringkat,” katanya.

IMG_1960

Tambah Salamiah ahli PAS perlu berperanan aktif melaksanakan tanggungjawab menyalurkan maklumat  kepada rakyat bagi menyedarkan mereka kerana katanya jika gagal berbuat demikian menyebabkan rakyat  mudah tertipu dengan dakyah yang di mainkan Umno BN.

”Dalam pilihanraya kecil Hulu Selangor sebagai contoh, negeri yang kita dah menang, bila kita bertemu dengan rakyat dan adalah perkara yang amat menyedihkan bagi kita apabila bertemu rakyat kita Tanya siapa Menteri Besar Selangor ada yang kata  Khir Toyo lagi, ini menunjukkan betapa lemahnya penyaluran maklumat kita kepada rakyat,” katanya.

Naib Presiden PAS, Dato’ Tuan Ibrahim  dalam ucapan perasmiannya pula mahukan organisasi  PAS melaksanakan kerja yang lebih berfokus bagi mendapatkan keberkesanan gerak kerja yang menyeluruh.

”Mulai sekarang kita kena kerja berfokus, muslimat kena kerja dalam bidang kerja yang berkaitan usaha mendekati kaum wanita. Dewan Pemuda kena kerja fokus kepada usaha menarik sokongan golangan muda dan muslimin kerja mengikut fokus yang ditetapkan. Kita kena kerja secara fokus dan dibuat dengan secara yang menyeluruh,” katanya.

IMG_1959

Pada muktamar itu juga disediakan tayangan slide show yang memaparkan kegiatan muslimat dalam pelbagai aktiviti yang telah dilaksanakan sepanjang tahun.

Hadir sebagai pemerhati bagi Muktamar Dewan Muslimat PAS Pahang kali ini  ialah Setiausaha Badan Perhubungan PAS Pahang, saudara Roslan Zainal al Ahmadi, Ahli Jawatankuasa Badan Perhubungan PAS Pahang, Cikgu Abdul Majid Hassan dan  Ahli Jawatankuasa Muslimat PAS Pusat, Dr Asiah Ali.