
TEMERLOH: PAS Pahang dalam usaha memperkasa kemahiran dan kecekapan petugas pilihanrayanya telah mengadakan kursus kemantapan dengan kerjasama Institut Latihan Pilihanraya PAS (ILPAS) yang diadakan di Dewan Dato' Abu Samah, dekat sini, selama tiga hari bermula semalam.
Seramai 50 peserta hadir mengikuti kursus yang disampaikan pakar-pakar yang diundang membabitkan pelbagai kepakaran termasuk kematapan aspek perundangan.
Menurut Pengarah Jabatan Pilihanraya PAS Pahang, Abdul Majid Hassan penyediaan kursus adalah komitmen PAS Pahang untuk menyediakan petugas pilihanraya dengan kemahiran tinggi bagi menghadapi setiap isu membabitkan aktiviti pilihanraya umum akan datang.
"Kita telah memanggil peserta terpilih untuk menghadiri kursus dan mereka yang menghadiri kursus ini diharapkan akan menyalurkan pula maklumat yang diperolehi ke peringkat yang lebih bawah. Kalau boleh semua petugas pilihanraya PAS tanpa kecuali memahami tugasan pilihanraya bagi memudahkan mereka melaksanakan tugasan masing-masing," katanya.
Setiausaha Jabatan Pilihanraya PAS Pahang, saudara Mazlan Mat Yassin ketika ditemui Pahangkini.net, sebentar tadi melahirkan rasa gembira kerana kursus mendapat kerjasama penuh peserta.
"Kami mengharapkan peserta mendapat manfaat hasil daripada penyertaan mereka dalam kursus. Kursus ini penting untuk dihadiri kerana terdapat banyak ilmu pilihanraya yang disampaikan penceramah jemputan," katanya.











